Monday, August 10, 2009

NILAI SEBUAH KASIH SAYANG

Ibu cacat, aku diejek kemana sahaja. Bagiku ibu cukup memalukan. Aku benci ibuku.

Ibuku, tukang masak di sekolah berhampiran dengan rumah kami. Semenjak kematian ayah ibu membanting tulang empat kerat semata-mata untuk menyara kehidupan kami. Aku tidak pernah peduli semua itu. Kadang-kala kemarahan aku berpunca dari mata ibu yang hanya sebelah.

Ibu kau mata satu macam lanun. Ibu kau buta. Itulah ejekan yang selalu aku terima bila ibu mula menghidang makanan untuk rakan-rakan yang berebut semasa rehat dikantin. Bila ku pandang ibu dengan kemarahan, ibu hanya tersenyum.

Pernah sekali ibu ziarahi aku di sekolah asrama penuh. Tak tahulah betapa malunya aku. Mengapa ibu malukan aku dihadapan kawan dan guruku ? Mengapa ibu harus tunjukkan muka dihadapan mereka. Aku berpura seakan tidak mengenali ibu. Aku melarikan diri dan membiarkan ibu bersendirian tercari-cari.

Keesokkan harinya, kawan sekelasku menyapa , Eeee mata mak kau sebelah aje lahhhh. Disebabkan perasaan malu yang teramat sangat aku menerpa ke arah ibu ”Ibu menjadikan saya bahan lawak dan ejekan di sekolah, kenapa ibu tidak mati sahaja ?”

Ibu hanya tunduk, tidak berkata apa. Aku tidak pernah terfikir akan apa yang aku katakan kepada ibu kerana aku terlalu marah dengan keadaan ini. Aku juga tidak hiraukan perasaan ibu. Bagiku sesudah kemiskinan menghimpit, ibuku pula dijadikan modal untuk aku diketawakan. Aku tidak mengaku dia ibuku lalu lari dari rumah, meninggalkan ibu keseorangan.

Aku membawa diri dan belajar bersungguh-sungguh untuk membina hidup baru dan akhirnya berjaya melanjutkan pelajaran. Sekarang aku sudah berkahwin, punyai anak dan kemewahan. Kamus hidupku sungguh ceria, semuanya dalam keadaan selesa dan mewah. Tapi yang paling penting tiada ejekan dan hinaan lagi.

Suatu hari, entah dari mana ibu mendapat alamat rumahku. Terpacak orang tua itu dihadapan rumah. Berpuluh tahun aku meninggalkan ibu, ibu tidak pernah bertemu isteri dan anak-anakku. Ibu memberi salam, salamnya diketawakan oleh anak-anakku. ”Hoi ! orang tua, berambus kau, berani kau datang cari aku dan menakutkan anak-anakku, nyah kau dari sini”. Aku memarahi ibu kerana berani sampai dirumahku tanpa ku undang. Ibu menjawab dengan nada terketar-ketar ”Makcik minta maaf nak, makcik salah rumah”. Perlahan-lahan ibu berlalu dan hilang dari pandanganku.

Suatu hari, aku menerima sepucuk surat undangan dari sekolah lamaku. Perjumpaan rakan sekolah ”Reunion” rupanya. Aku ingin ketemu semua rakan-rakan yang pernah mengejek aku. Aku ingin buktikan kepada mereka bahawa aku sudah berjaya. Baru mereka tahu. Aku membohongi isteriku dengan menyatakan aku akan keluar negara atas urusan perniagaan.

Selepas perjumpaan tersebut, aku cuba menjenguk rumah yang telah lama aku tinggalkan. Jiran sebelah menyapa bila memerhatikan aku seperti terjengok-jengok. ”Mana orang tua yang pernah tinggal di sini makcik ?’. ”Sudah meninggal dunia” katanya. Menyesal ? Tidak ada sedetikpun kekesalan. Lalu jiranku tadi menghulurkan sepucuk surat yang datangnya dari ibu. Aku mengambilnya dan berlalu pergi.

Setibanya dirumah aku renyokkan surat tersebut lalu ku campakkan di dalam tong sampah. Tapi entah mengapa hatiku bagai ditarik untuk mengetahui kandungan surat tersebut. Ku lurutkan surat ibu dan isi kandungan berbunyi.

Wahai anakku, ibu sentiasa mengingatimu sepanjang masa. Ibu sentiasa merindui dirimu. Ibu mohon maaf di atas kehadiran ibu kerumahmu dan menakutkan anak-anakmu.
Anakku, Ibu gembira bila mengetahui dirimu akan hadir dalam perjumpaan sekolah. Tapi dikala itu mungkin ibu sudah tidak berupaya bangkit untuk bertemu denganmu. Ibu mohon kemaafan kerana menjadikan dirimu bahan tawa sepanjang kedewasaanmu.
Anakku, semasa dirimu masih kecil, dirimu terlibat dengan kemalangan dan kehilangan sebelah mata. Ibu tidak sanggup melihat dirimu dihina dan ditertawakan lalu sebelah mata ibu diserahkan untukmu. Ibu sungguh bangga dengan dirimu kerana dapat melihat dunia dengan sempurna dengan menggunakan mata ibu.

Yang menyayangi dirimu
Ibu.

1 comment: